Teknologi - En. Hasnan bin Hassan

Geometer's Sketchpad (GSP) Dalam Matematik

KESAN KAEDAH PENGAJARAN BERBANTUKAN GEOMETER’S SKETCHPAD TERHADAP
PENCAPAIAN PELAJAR DALAM TOPIK TRANSFORMASI

Dr Azlina binti Mohd Kosnin
Puan Suhaila binti Abdullah

Abstrak

Ramai dalam kalangan pelajar sekolah menengah menghadapi masalah dalam memahami dan
menguasai mata pelajaran matematik, khususnya dalam topik transformasi, dan kajian literatur
mencadangkan kaitan antara pemahaman topik-topik tertentu dalam matematik dengan
keupayaan spatial. Kajian ini melihat kaitan keupayaan spatial dengan keupayaan pelajar dalam
menyelesaikan masalah transformasi dan keberkesanan penggunaan perisian Geometer’s
Sketchpad (GSP) dalam meningkatkan keupayaan pelajar dalam topik transformasi. Seramai 100
orang pelajar tingkatan dua telah dipilih sebagai sampel kajian. Pelajar-pelajar ini telah
dibahagikan kepada dua kumpulan. Satu kumpulan diajar topik transformasi menggunakan
kaedah biasa (kumpulan kawalan) manakala satu lagi kumpulan (kumpulan eksperimen) diajar
menggunakan kaedah biasa dan diikuti dengan pengajaran berbantukan perisian Geometer’s
Sketchpad. Dua instrumen telah digunakan untuk menguji keupayaan spatial pelajar, iaitu Form
Board Test dan Paper Folding Test. Satu set soalan transformasi telah dibina dan diuji kepada
semua pelajar setelah pengajaran secara biasa dilakukan. Ujian yang sama diberikan sekali lagi
kepada kedua-dua kumpulan setelah kumpulan eksperimen diajar menggunakan GSP. Dapatan
menunjukkan hubungan yang signifikan antara keupayaan spatial dengan pencapaian dalam
topik transformasi (r = 0.48, p<0.01). Analisis berkaitan perbezaan pencapaian pelajar antara
kumpulan kawalan dan eksperimen menunjukkan peningkatan dalam pencapaian yang signifikan
bagi kumpulan eksperimen, tetapi tidak pada kumpulan kawalan.

PENGENALAN
Matematik ialah satu mata pelajaran teras di peringkat sekolah menengah dan
mencakupi banyak aspek. Mata pelajaran ini bertujuan untuk melahirkan individu yang
berketerampilan serta mengaplikasikan pengetahuan matematik dalam kehidupan harian secara
berkesan dan bertanggungjawab semasa menyelesaikan masalah dan membuat keputusan.
Kandungan sukatan pelajaran Matematik Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah ini
merangkumi pengetahuan dan kemahiran daripada tiga bidang yang saling berkait iaitu Nombor,
Bentuk dan Ruang, dan Perkaitan. Matematik merupakan jentera atau penggerak kepada
pembangunan dan perkembangan dalam bidang sains dan teknologi. Dengan itu, penguasaan
ilmu matematik perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi menyediakan tenaga kerja
yang sesuai dengan perkembangan dan keperluan membentuk sebuah negara maju.
Geometri adalah salah satu topik yang penting dalam sukatan mata pelajaran Matematik
sekolah menengah. Kefahaman dalam geometri dapat membekalkan pengalaman yang dapat
membantu pelajar membina kefahaman terhadap bentuk, ruang, garisan serta fungsi setiap
bentuk, ruang dan garisan tersebut. Ia membolehkan pelajar menyelesaikan masalah dan
mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian mereka. Adalah menjadi satu tugas yang besar
bagi guru untuk merealisasikan kepentingan geometri dalam kehidupan. Sebagai contoh dalam
topik transformasi yang dipelajari oleh pelajar tingkatan dua, pelajar mestilah faham dengan
konsep geometri yang asas sehingga mereka faham mengapa setiap bangunan yang dibina
dengan bentuk-bentuk yang berlainan tetapi masih mempunyai fungsi yang sama. Begitu juga
dengan topik-topik geometri yang lain seperti sudut, transformasi, poligon, pembentangan,
putaran dan lokus dua dimensi. Nasional Concul of Supervisor of Mathematics, NTCM (1989)
mengesahkan bahawa kemahiran dalam bidang geometri adalah salah satu kemahiran asas
daripada sepuluh kemahiran asas Matematik. Seharusnyalah kemahiran ini dapat disampaikan
kepada pelajar dengan cara yang betul. Namun begitu, dalam situasi sebenar yang berlaku di
sekolah, sering kali terjadi kegagalan dalam kurikulum Matematik terutama dalam topik geometri bagi pelajar sekolah menengah. Ini kerana berlaku salah faham dalam konsep geometri semasa proses pengajaran dan pembelajaran tajuk geometri ini.

Bagi mengajar tajuk geometri dengan berkesan, guru mestilah menggunakan alat bantu
mengajar sekurang-kurangnya set geometri. Penyesuaian alatan dengan kurikulum dan
teknologi amatlah membantu guru dan pelajar mencapat matlamat dalam ilmu geometri ini.
Teknologi telah diperkenalkan dan dijadikan sebagai salah satu bahan bantu mengajar untuk
mengajar, termasuklah dalam ilmu Matematik amnya dan khusunya dalam topik transformasi
dalam bidang geometri. Apabila teknologi digunakan dangan betul, ia akan menghasilkan
keadaan di mana pelajar dapat memahami geometri dengan lebih berkesan (NCTM, 1989).
Pengajaran dan pembelajaran matematik, terutama geometeri telah banyak mengalami
perubahan dari masa ke semasa. Perubahan ini adalah sejajar dengan pembangunan teknologi
yang berlaku. Satu perisian yang dapat digunakan dalam bilik darjah bagi pengajaran dan
pembelajaran geometri ialah Geometer’ Sketchpad – GSP (Jackiw, 1991). Perisian Geometer’s
Sketchpad ini membolehkan pelajar dan guru menggunakan komputer sebagai alat bantu
mengajar dalam topik geometri. Geometer’s Sketchpad ini membantu pelajar mencipta keadaan
di mana mereka dapat mengkaji geometri bermula dari tajuk yang asas seperti garisan, sudut dan
bentuk kepada tajuk yang lebih sukar seperti lengkungan, putaran dan transformasi. Pelajar
dapat mengaitkan antara garisan dan bentuk yang dihubungkan dengan sudut melalui animasi
yang lebih mudah untuk difahami. Melalui perisian Geometer’s Sketchpad ini, pelajar dikatakan
dapat mengabstrak konsep yang sukar kepada kaedah manipulatif di mana pelajar dapat
membina dan mengkaji kegunaan, sifat dan fungsi geometri.

Meriam (2007) menyatakan bahawa proses pengajaran dan pembelajaran mendedahkan
pelajar kepada aktiviti berbentuk perkataan, masalah, kuiz dan sebagainya. Pelajar perlulah
mengetahui bahawa setiap masalah perlu ada jalan penyelesaiannya. Perisaian Geometer’s
Sketchpad dapat membantu guru menerangkan konsep transformasi dengan lebih mudah serta
dapat menerangkan proses transformasi dengan lebih jelas kerana pelajar dapat melihat semua
pergerakan yang berlaku ke atas objek ketika sesuatu permasalahan diselesaikan.
Penyelesaian masalah adalah menjadi lebih mudah kepada pelajar apabila mereka memahami
konsep dengan betul.

Aplikasi perisian Geometer’s Sketchpad berupaya memenuhi ciri yang dapat menyimpan
90% iaitu dapat lihat, dengar dan buat secara serentak (Ismail Zain, 2002). Menurut kajian Jaya
Kumar (2001) pula , aplikasi komputer diperlukan bagi memenuhi gaya pembelajaran yang
berbeza-beza antara pelajar samada dari sosio- ekonomi mahupun jantina. Penggunaan perisian
Geometer’s Sketchpad adalah sejajar dengan prinsip pembelajaran secara konstruktisvisme iaitu
menggalakkan pelajar berfikir untuk meyelesaikan masalah, menjana idea dan membuat
keputusan yang bijak dalam menghadapi pelbagai kemungkinan dan cabaran dalam topik
transformasi.

Secara amnya, dapatan-dapatan kajian lalu menunjukkan bahawa penggunaan perisian
GSP dalam pengajaran dan pembelajaran matematik adalah program yang berguna dan dapat
mewujudkan suasana pembelajaran yang sihat. Ini adalah disebabkan pelajar dapat diberikan
peluang simulasi, yang membolehan mereka membayangkan perkara sebenar. Mehligner (1998)
menyatakan bahawa akan ada lebih banyak integrasi dan interaksi dalam dunia teknologi akan
datang.

Kajian-kajian berkaitan beberkesanan dan faedah perisian GSP dalam bidang matematik
telah banyak dilakukan. Dixon (1996) melalui kajiannya membuat kesimpulan bahawa pelajar
yang menggunakan perisian GSP mempunyai skor pencapaian yang lebih tinggi dalam ujian
berkenaan konsep refleksi dan rotasi. Groman (1996) pula telah melakukan kajian menggunakan
perisian GSP dalam kursus geometri bagi pendidikan matematik sekolah menengah. Pelajar
diberikan tiga contoh bagaimana sketchpad dalam GSP digunakan dan kaian menunjukkan guruguru dan pelajar-pelajar menunjukkan reaksi yang positif terhadap perisian ini.
Yousef (1997) telah melakukan satu kajian untuk melihat kesan penggunaan perisian GSP
terhadap sikap pelajar terhadap geometri. Salah satu dapatan kajian beliau menunjukkan skor
ujian pos yang lebih tinggi berbanding skor dalam ujian ora bagi kumpulan eksperimen. Lester
(1996) pula telah mengkaji kesan perisian ini terhadap pencapaian pelajar sekolah menengah
dalam bidang geometri. Beliau mendapati pelajar dalam kumpulan eksperimen mendapat
peningkatan skor yang lebih tinggi dalam ujian pos berbanding pelajar dalam kumpulan kawalan.
Sehaluan dengan kajian-kajian lain yang terdahulu, Almehdudi (2005) turut menunjukkan
kebaikan perisian GSP dalam kajian beliau. Almehdudi (2005) mengkaji keberkesanan perisian
GSP terhadap pemahaman beberapa konsep dalam Geometri. Kajian berbentuk eksperimen ini
melibatkan 52 orang pelajar gred 9, dan mereka dibahagikan kepada kumpulan eksperimen dan
kawalan. Kedua-dua kumpulan ini diajar oleh guru yang sama tetapi perbezaan adalah dari segi
kaedah pengajaran. Kumpulan kawalan diajar menggunakan buku manakala pelajar dalam
kumpulan eksperimen diajar menggunakan buku dan perisian GSP. Dapatan menunjukkan
pelajar dalam kumpulan eksperimen menunjukkan peningkatan skor yang lebih tinggi berbanding pelajar dalam kumpulan kawalan.

Walaupun kebaikan perisian GSP telah dibuktikan melalui beberapa kajian lalu,
keberkesanannya belum lagi dibuktikan bagi kurikulum matematik di Malaysia dan sama ada
perisian ini mendatangkan faedah yang sama merentas jantina. Kepentingan mengkaji perisian
ini menjadi lebih penting lagi memandangkan perisian GSP ini telah mula diguna pakai di
beberapa sekolah di Malaysia bagi mengajar tajuk-tajuk tertentu dalam mata pelajaran
matematik. Kajan ini dilakukan untuk mengkaji keberkesanan perisian Geometer’s Sketchpad
dalam mempertingkatkan tahap pencapaian pelajar dalam sukatan geometri, secara khususnya,
topik transformasi. Kajian ini turut mengkaji perbezaan dalam keberkesanan perisian GSP antara
jantina.




METODOLOGI KAJIAN
Kajian ini merupakan satu kajian eksperimen yang melibatkan seramai 50 orang pelajar
lelaki dan 50 orang pelajar perempuan (N=100). Pelajar-pelajar ini adalah pelajar tingkatan dua di sebuah sekolah di daerah Pasir Gudang. Pelajar-pelajar ini dibahagikan kepada dua kumpulan
yang mana setiap kumpulan mempunyai bilangan pelajar lelaki dan perempuan yang sama. Satu
kumpulan (kumpulan eksperimen) sahaja yang turut diajar menggunakan perisian GSP di
samping pengajaran normal. Satu lagi kumpulan hanya diajar topik transformasi menggunakan
kaedah biasa (kumpulan kawalan). Ujian pra dan pos ditadbir bagi mengukur tahap pencapaian
pelajar dalam topik transformasi.
Kajian bermula dengan kedua-dua kumpulan didedahkan dengan teknik pengajaran dan
pembelajaran tajuk tranformasi secara tradisional, dimana guru mengajar mereka di dalam bilik
darjah. Setelah pengajaran secara tradisional dijalankan, kedua-dua kumpulan iaitu Kumpuan
Eksperimen dan Kumpulan Kawalan di berikan ujian berkenaan dengan topik yang mereka telah
dipelajari. Setiap markah pelajar direkod. Akhir sekali pelajar- pelajar yang berada dalam
Kumpulan Eksperimen didedahkan kepada penggunaan perisian Geometer’s Sketchpad. Setiap
pelajar diberi peluang untuk menggunakan perisian Geometer’s Sketchpad untuk menpelajari
topik transformasi. Dalam setiap sesi pangajaran dan pembelajaran hanya 20 orang pelajar yang
mengikuti kelas ini, ia mengikut bilangan komputer yang telah dimuat turun dengan perisian
Geometer’s Sketchpad iaitu sebanyak 10 buah. Maka terdapat tiga sesi pengajaran
menggunakan perisian Geometer’s Sketchpad kerana 50 orang pelajar yang terdapat dalam
Kumpulan Eksperimen ini. Kumpulan-kumpulan kecil ini dibina untuk memudahkan guru
memberi tunjuk ajar apabila terdapat pelajar yang tidak mahir menggunakan perisian ini.
Kumpulan pelajar yang menggunakan perisian Geometer’s Sketchpad sebagai bahan bantu
mengajar diberikan sekali lagi ujian (ujian pos) yang berkaitan dengan topik transformasi. Semua
markah pelajar dalam Kumpulan Eksperimen ini direkodkan. Ujian yang sama turut diberi kepada kumpulan kawalan yang tidak diajar menggunakan kaedah GSP.
SEMINAR KEBANGSAAN PENDIDIKAN SAINS DAN MATEMATIK 11 – 12 OKT 2008
DAPATAN KAJIAN
Keberkesanan kaedah Geometer’s Sketchpad telah diuji dengan membandingkan
perbezaan nilai min bagi Ujian pra dan Ujian pos bagi kedua-dua kumpulan (kawalan dan
eksperimen). Seterusnya, perbezaan nilai min antara ujian-ujain ini dianalisis dengan
menggunakan analisis Paired t-test. Kaedah ini sesuai untuk mencari perbezaan bagi dua nilai
min bagi kumpulan yang sama. Keberkesanan kaedah GSP dalam meningkatkan pencapaian
pelajar alam tajuk transformasi disokong sekiranya terdapat peningkatan yang signifikan dari
ujian pra ke ujian pos bagi kumpulan eksperimen tetapi tidak dalam kumpulam kawalan.
Jadual 1 menunjukkan perbezaan min pencapaian dalam ujian transformasi sebelum dan
selepas mengikuti kaedah pengajaran Geometer’s Sketchpad kepada pelajar dalam Kumpulan
Eksperimen. Keputusan analisis menunjukkan nilai min bagi Kumpulan Eksperimen dalam Ujian
pra ialah 10.26 manakala dalam Ujian pos pula ialah 12.64. Dalam erti kata lain, nilai min yang
diperolehi selepas mengikuti kaedah Geometer’s Sketchpad bagi Kumpulan Eksperimen adalah
adalah lebih tinggi berbanding daripada min sebelum mengikuti kaedah pengajaran Geometer’s
Sketchpad. Dapatan data min bagi Kumpulan Kawalan pula menunjukkan sedikit penurunan
dalam nilai min dari Ujian pra (min = 9.30) ke Ujian pos (min = 9.18).
                                                                                                  


Jadual 1 : Nilai Min Mengikut Kumpulan Dalam Ujian Pencapaian
Tranformasi Ujian1 dan Ujian 2 Dengan dapatan Paired t-test
Kumpulan       Min Ujian pra              Min Ujian pos             t, df,p
Eksperimen     10.26                           12.64                           t = 6.85, df = 49, p=0.00
Kawalan          9.30                             9.18                             t = -2.11, df = 49, p = 0.45
Dapatan analisa berdasarkan Paired t-test menunjukkan perbezaan min di dalam
pencapaian Ujian pra dan Ujian pos bagi Kumpualn Eksperimen adalah signifikan (t=6.85,
p<0.01). Ini menunjukkan peningkatan pencapaian dalam topik transformasi dengan
menggunakan kaedah Geometer’s Sketchpad bagi pelajar dalam kumpulan Eksperimen.
Perbezaan nilai min bagi kumpulan kawalan pula tidak menunjukkan perbezaan yang signifikan (t= -2.11, p>0.05). Dapatlah disimpulkan bahawa kaedah Geometer’s Sketchpad dapat
meningkatkan pencapaian pelajar.

Kaedah analisis yang sama telah digunakan bagi menilai perbezaan keberkesanan
Kaedah Geometer’s Sketchpad dalam meningkatkan pencapaian pelajar dalam topik
Transformasi dari aspek jantina. Nilai min bagi ujian pra dibandingkan dengan ujian pos bagi
pelajar lelaki dan perempuan dari kumpulan eksperimen (pelajar yang telah melalui pembelajarandengan menggunakan kaedah GSP).Jadual 2 menunjukkan perbezaan min pencapaian dalam ujian transformasi sebelum danselepas mengikuti kaedah pengajaran Geometer’s Sketchpad bagi pelajar lelaki dan perempuan.Dapatan data mendapati min bagi pelajar lelaki dalam Ujian pra sebelum mengikuti kaedah pengajaran Geometer’s Sketchpad ialah 11.88 manakala dalam ujian setelah mengikuti kaedah pengajaran Geometer’s Sketchpad pula ialah 13.48. Dapatan data min bagi pelajar perempuan pula ialah bagi Ujian pra adalah 8.64 dan min bagi ujian pos adalah 11.80. Nilai min yang diperolehi selepas mengikuti kaedah Geometer’s Sketchpad bagi kedua-dua jantina adalah lebih tinggi berbanding nilai min sebelum mengikuti kaedah pangajaran Geometer’s Sketchpad.
SEMINAR KEBANGSAAN PENDIDIKAN SAINS DAN MATEMATIK 11 – 12 OKT 2008
5
Jadual 2: Nilai Min Mengikut Jantina Dalam Ujian Pencapaian
Tranformasi Ujian pra dan Ujian pos Dengan Paired t-test
Jantina             Min Ujian pra              Min Ujian pos            t, df,p
Lelaki              11.88                                       13.48               t = 4.53, df = 44.54, p=0.00
Perempuan      8.64                                         11.80               t = 1.99, df = 40.22, p =0.03
Secara keseluruhannya, min bagi pelajar lelaki dalam setiap ujian adalah lebih tinggi berbanding
min bagi pelajar perempuan. Dapatan analisa berdasarkan ujian Paired t-test menunjukkan
perbezaan min di dalam pencapaian Ujian pra dan Ujian pos bagi pelajar lelaki adalah signifikan (t = 4.53, p<0.01 ) iaitu terdapat peningkatan dalam pencapaian dalam topik transformasi dengan
menggunakan kaedah Geometer’s Sketchpad. Peningkatan dalam nilai min bagi pelajar
perempuan juga adalah signifikan ( t = 1.99, p<0.05 ), iaitu terdapat juga peningkatan dalam
pencapaian dalam topik transformasi setelah menggunakan kaedah Geometer’s Sketchpad. Dari
nilai min yang diperolehi, dapatlah disimpulkan bahawa kaedah Geometer’s Sketchpad berkesan
dalam pencapaian pelajar lelaki dan perempuan dalam topik Transformasi. Namun begitu
terdapat peningkatan min yang amat ketara pada pelajar perempuan iaitu dari ujian pra dan ujian
pos (perbezaan min = 3.16). Perbezaan nilai min dari ujian pra ke ujian pos bagi pelajar lelaki
adalah 1.6.
Kecara amnya, kajian ini telah menyokong dapatan kajian-kajian lalu berkaitan keberkesanan dan faedah penggunaan perisian Geometer’s Sketchpad dalam pengajaran dan pembelajaran
matematik. Oleh yang demikian, adalah disarankan penggunaan perisian ini dapat diperluaskan
di sekolah-sekolah seluruh Malaysia bagi membantu pelajar-pelajar dalam bidang matematik,
khususnya berkaitan geometri.

RUJUKAN
Dixon, J. (1996). English Language Proficiency and Spatial Visualization in Middle School
Students’ Construction of the Concepts of Reflection and Rotation used the GSP. Dissertation
Abstract International, DAI-A 56111, University of Florida.
Farouq Almeqdadi (2005). “ The Effect of Using The Geometer’s Sketchpad (GSP) on Jordanian
Students Understanding Some Geometrical Concepts”, International Journal for Mathematics
Teaching and Learning, Centre for Innovation in Mathematcis Teaching. ISSN 1473-
0111.Diperolehi dari: http://www.cimt.plymouth.ac.uk/journal/default.htm
Growman, M. (1996). Integrating Geometer’s Sketchpad into a Geometry Course for Secondary
Education Mathematics Majors. Association of Small Computer users in Education (ASCUE)
Summer Conference Proceedings, 29th, North Myrtle Beach, SC.
Ismail Zain (2001). ” Aplikasi Multimedia Dalam Pengajaran”. Utusan Publications & Distributar
Sdn. Bhd.
Jaya Kumar C. Koran (2002). “Apikasi E-Learning dalam Pengajaran dan Pembelajaran di
Sekolah-Sekolah Malaysia. Cadangan Pelaksanaan Paa Senario Masa Kini”. Pasukan Projek
Rintis Sekolah Bestari Bahagia Teknologi Pendidikan, Kementrian Pendidikan Malaysia.
Jackiw, Nicholas. (1991). The Geometer’s Sketchpad. Berkeley, California: Key Curriculum Press.
Lester, M. (1996). The Effects of the GSP Software on Achievement Knowledge of High School
Geometry Students. Dissertation Abstract International, DAI-A 57106, University of San
Francisco.
Mehligner, H. (1998). Schools Reform in the Information Age. In Computers in Education,
Hirschehl, J.; and Bishop, D. (Eds.), Guilford, CT: Dushkin/ McGraw-Hill.
Meriam Yusuf (2007). “Tahap Keyakinan Kemahiran Genarik di Kalangan Pelajar : Kajian Kes di
Salah sebuah Kediaman di UTM, Kampus Skudai, Johor Bahru, Malaysia”. Tesis Sarjana UTM.
National Concil of Supervisor of Mathematics, NCTM (1989). “Technology in Mathematics
Secondary School ”. London.
Yousef, A. (1997). The Effect of the GSP on the Attitude toward Geometry of High School
Students. Dissertation Abstract International, A 58105, Ohio University.




3 comments:

watie said...

GSP merupakan satu perisian komputer yang boleh digunakan oleh guru dalam P&P matematik. Di peringkat sekolah menengah GSP sudah tidak asing lagi, sebaliknya di peringkat sekolah rendah. Kurangnya pendedahan menyebabkan GSP tidak dikenali di sekolah rendah. Sekiranya seseorang guru dapat menggunakan GSP dalam P&P, pastinya dapat menarik minat para pelajar.Ia bukan sahaja memudahkan tugas guru membuat penerangan malah menguji kemahiran guru dalam penggunaan ICT.

siti noor faizah said...

Gsp lebih sesuai untuk sekolah Menengah. Kita boleh le belajor....untuk tambah pengetahuan.

watie said...

Memang betul GSP sangat dikenali di peringkat menengah. Ramai di antara kita tidak tahu sejauh mana peranan GSP untuk peringkat rendah. GSP boleh digunakan dalam subjek Matematik untuk tajuk 'Bentuk dan Ruang', iaitu 3-D dan bentangan, Masa dan Waktu dan Nombor Bulat. Jika anda berpeluang belajar menggunakan GSP pasti anda juga akan tertarik dengannya.

Post a Comment